Diterbitkan pada 28 April 2026, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

KAJANG – Selaras dengan aspirasi Pendidikan Abad ke-21, Sekolah Kebangsaan Saujana Impian melalui Unit Kurikulum telah menganjurkan “Bengkel Penulisan Komik Kreatif” sempena Bulan Panitia Bahasa Melayu. Program ini melibatkan kerjasama dengan pakar industri bagi memperkukuh penguasaan bahasa melalui pendekatan pembelajaran secara kreatif dan interaktif.

Bengkel ini menghimpunkan seramai 40 murid terpilih yang berminat dan berpotensi dalam penulisan dan seni visual.

Program ini menampilkan Encik Afiq Zulhilmi Baharudin daripada Persatuan Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia (ANIFEST) serta Ts. Azrie Izham Hamzah, Timbalan Dekan, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai penceramah jemputan.

Kedua-dua penceramah ini berkongsi kepakaran dalam penulisan kreatif komik, merangkumi aspek pembangunan idea, ilustrasi dan struktur penceritaan. Selain itu, mereka turut memberi pendedahan tentang sesuatu idea yang boleh dikembangkan menjadi jalan cerita yang lengkap dan tersusun dalam bentuk komik yang menarik serta mudah difahami.

Encik Afiq Zulhilmi ketika memberikan penerangan tentang komik kreatif.

Afiq Zulhilmi berkata bahawa kehebatan penceritaan bermula daripada kekuatan idea yang jelas. Idea yang baik membantu menyampaikan mesej dengan lebih berkesan melalui komik serta memudahkan pembaca memahami isi yang ingin disampaikan. Menurutnya lagi, proses penghasilan idea kreatif yang mempunyai nilai pengajaran membantu mengasah kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kreativiti dalam penghasilan karya komik.

Sementara itu, Ts. Azrie Izham Hamzah menekankan kepentingan struktur naratif dalam menghasilkan komik yang berkesan dan tersusun. Katanya,

Komik yang baik perlu mempunyai struktur cerita yang jelas, merangkumi pengenalan, perkembangan konflik dan penyelesaian. Struktur ini membantu murid memahami cara cerita dibina secara sistematik.

Sepanjang bengkel berlangsung, murid didedahkan dengan modul komprehensif yang merangkumi asas struktur komik, pembangunan watak serta teknik penceritaan visual. Aktiviti praktikal turut dilaksanakan apabila murid diberikan tugasan menghasilkan komik berdasarkan tema Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) yang berkaitan dengan kehidupan di sekolah.

Ts. Azrie Izham Hamzah ketika menerangkan tentang jalan cerita dalam komik.

Guru Besar SK Saujana Impian, Datin Asmanor Sapura Shaori menyifatkan program ini sebagai inisiatif yang memberi impak besar kepada pembangunan murid. Jelasnya,

Program ini membuka ruang kepada murid untuk mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis dan kolaborasi secara praktikal. Hal ini bukan sahaja membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, tetapi juga membina keyakinan diri murid dalam berkarya.

Guru Besar SK Saujana Impian, Datin Asmanor Sapura Shaori ketika memberikan kata-kata semangat kepada para murid.

Penganjuran bengkel ini turut membuktikan keberkesanan kaedah pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) dalam meningkatkan penglibatan aktif murid serta menjadikan proses pembelajaran lebih aktif, praktikal dan menyeronokkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi