Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Nur Atiqah Rahim
Kuala Lumpur – Mia Azwari Publication turut mencuri tumpuan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 dengan kejutan istimewa apabila memperkenalkan dua penulis baharu dalam dunia penulisan tempatan.
Bertempat di reruai Mia Azwari Publication, Bilik Mawar, Aras 2, WTCKL, para pengunjung yang hadir dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 dijemput untuk merasai sendiri aura serta kreativiti dua penulis muda berbakat, iaitu Maisarah dan Ieyqaroses, yang masing-masing tampil dengan karya sulung mereka di bawah naungan penerbit tersebut. Reruai ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh pesta berlangsung.
Maisarah, penulis pertama yang bernaung secara rasmi di bawah Mia Azwari Publication, menampilkan novel sulung berjudul Faraway Sunshine. Karya bergenre romantik ini membawa tema jiwa dan keinginan dalam kehidupan yang penuh cabaran, ditulis dengan gaya santai dan memberikan nafas baharu kepada landskap novel cinta kontemporari. Katanya,
“Saya bersyukur MA sudi menerima manuskrip saya untuk diterbitkan. Saya berasa sangat senang bekerjasama dengan pihak MA. Insya-Allah, semoga Allah permudahkan segala urusan mereka untuk terus melangkah ke hadapan,” ujar Maisarah menerusi ruang komen di hantaran Instagram penerbit berkenaan.
Sementara itu, Ieyqaroses turut melancarkan novel romantik melodrama sulungnya bertajuk His Dolce: Rose’s bersempena dengan PBAKL 2025. Beliau hadir dengan harapan tinggi agar karya ini mendapat sambutan hangat daripada para pembaca. Dengan gaya penulisan puitis dan sarat emosi, beliau yakin novelnya mampu menjadi pilihan utama bagi pengunjung yang mencari bacaan yang menyentuh jiwa.
“Saya sangat berterima kasih kepada Mia Azwari Publication kerana memberikan peluang besar ini. Harapan saya agar pengunjung yang hadir ke PBAKL sudi singgah ke reruai kami, bertegur sapa dan mungkin pulang dengan His Dolce: Rose’s, serta hadiah menarik yang saya sediakan khas untuk 100 pembeli pertama semasa sesi temu mesra bersama-sama saya,” katanya dengan penuh teruja.
Mia Azwari, penerbit dan penulis prolifik yang terkenal menerusi novel Piah di Hati Mr. Beku, turut hadir sepanjang acara berlangsung. Beliau melihat pelibatan penulis baharu ini sebagai satu usaha memperkasakan bakat muda dalam dunia penulisan tanah air.
Dalam pada masa yang sama, beliau turut memperkenalkan karya terbaharunya berjudul Pemilik Hati Rania.
“Alhamdulillah. Syukur kepada Yang Maha Esa. Sejak Disember tahun lalu hingga April 2025, saya memberikan sepenuh tumpuan untuk menyiapkan manuskrip dan menguruskan penerbitan buku di bawah MA. Bila diberikan tanggungjawab untuk menerbitkan karya penulis lain, perasaan takut itu tinggi. Terima kasih buat Maisarah dan Ieyqaroses kerana mempercayai saya sebagai penerbit mereka. Dan terima kasih juga kepada pembaca yang terus menyokong saya,” katanya.
“Bakat mereka luar biasa. Saya bangga dapat memperkenalkan mereka kepada umum di pentas sebesar PBAKL. Ini bukan sekadar pelancaran buku, tetapi juga permulaan kepada perjalanan panjang mereka dalam dunia penulisan,” tambah beliau dalam satu hantaran Instagram.
Reruai Mia Azwari Publication dijangka menjadi antara tumpuan utama sepanjang PBAKL 2025 dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi temu mesra bersama-sama penulis serta tawaran hadiah eksklusif buat pembeli terawal. Kehadiran dua penulis baharu yang penuh potensi ini diyakini akan memberikan pengalaman yang bukan sahaja bermanfaat, malah bermakna buat para pencinta buku.