Diterbitkan pada 20 Mei 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Cornnelia Golonius 

Tanjong Malim – Bengkel Kesusasteraan dan Pengajaran Pembelajaran Bahasa Kadazan Dusun serta Mini Kaamatan 2025 (ambilan pertama 2024) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah C-F, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 26 April lalu.

Bengkel ilmiah yang dikendalikan oleh Dr. Henry Bating memberikan tumpuan kepada penggunaan karya sastera sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kadazan Dusun. Pendekatan ini menekankan enam elemen utama, iaitu bahasa, sastera, guru, pelajar, kurikulum dan budaya masyarakat.

Buat julung-julung kalinya, Dr. Henry turut berkongsi tipologi analisis sastera hasil penyelidikannya semasa di UPSI, yang telah mencuri tumpuan para pelajar yang hadir.

Majlis telah disempurnakan oleh Ketua Jabatan Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr. Muhammad Fadzllah Haji Zaini. Yang turut hadir memeriahkan program ialah barisan pensyarah Jabatan Bahasa Etnik, iaitu Dr. Rosliah Kiting, Dr. Minah Sintian dan Profesor Madya Dr. Julita @ Norjietta binti Taisin.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Muhammad Fadzllah menekankan kepentingan memelihara warisan bahasa etnik.

“Jika bukan kita, siapa lagi? Saya sangat berterima kasih kepada UPSI kerana membuka ruang untuk memartabatkan bahasa etnik,” katanya, sambil memberikan semangat kepada mahasiswa agar terus gigih menuntut ilmu.

Beliau turut menyuarakan harapan agar pelajar jurusan Bahasa Kadazan Dusun dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh UPSI, satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Etnik.

Seiring dengan bengkel tersebut, turut diadakan Mini Kaamatan bertemakan “Kaamatan Montok Toinsanan” yang diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan Sugandoi, Pertandingan Masakan Tradisi, Mr & Ms Kaamatan serta cabutan bertuah.

Program ini bukan sahaja memperkukuh semangat cintakan bahasa ibunda dalam kalangan pelajar, malah menyerlahkan kepelbagaian budaya warisan etnik yang perlu terus dipelihara dan dihargai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi