Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hadiah Puisi T. Alias Taib yang memasuki edisi keempat pada kali ini menekankan dua fokus utama sebagai asas penilaian para juri, iaitu keseragaman bagi keseluruhan manuskrip dan potensinya untuk diterbitkan sebagai naskhah kumpulan puisi yang berdaya tahan diuji zaman.
Menurut wakil juri, YBrs. Puan Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman, panel juri menekankan bahawa penilaian dari aspek keseragaman keseluruhan manuskrip bagi meneliti kekuatan kandungan, termasuk teknik penulisan, sikap kepengarangan serta konsistensi dalam tema yang dibawa.
Walau bagaimanapun, para juri turut mengesan beberapa kelemahan dalam sebahagian manuskrip akhir, khususnya kecenderungan sebilangan penulis dalam menampilkan permainan kata-kata yang indah tetapi tidak seimbang dari segi pemaknaan.
“Sebahagiannya (karya) banyak menghadirkan kata-kata tanpa lebih mementingkan makna, atau makna tanpa lebih mementingkan kata-kata atau bagaimana kata-kata itu dipilih, diindahkan dan disusun,” ujarnya ketika membentangkan Laporan Penjurian Pertandingan Hadiah T. Alias Taib II 2025 di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP.
Bahkan, beliau menjelaskan bahawa keadaan karya tersebut lebih menekankan keindahan bahasa tanpa memberikan kedalaman pemikiran yang sepadan, menjadikan puisinya terapung-apung dalam kekaburan.
Akhirnya, juri menemui kecenderungan yang kemudian menjadi suatu keghairahan menghadirkan kata-kata tanpa berusaha untuk meletakkan keseimbangan antara makna dengan keghairahan melemparkan kata-kata, malah juga bentuk yang sangat sembam serta tipis maknanya yang terapung-apung dalam kekaburan.
Tambah beliau lagi, dalam paiwaian penilaian manuskrip, para juri mengambil kira dua pandangan seperti yang dikemukakan oleh Jonathan Nolan yang merupakan penulis skrip Inggeris bahawa tafsiran dan interpretasi pembaca (juri) yang membentuk makna sebenar puisi; serta penulis sebagai pencipta makna berdasarkan pengalaman dan pemikirannya terhadap realiti.
Selain itu, beliau turut mengulas lanjut bahawa hadiah utama diberikan kepada sebuah manuskrip yang menonjol dari segi pemusatan kesedaran serta memperlihatkan keutuhan struktur, susunan idea yang sistematik dan pengolahan makna yang mendalam.
Kepada (pemenang) hadiah utama, pemusatan kesedaran ialah kata kunci kepada pemahaman terhadap keseluruhan puisi dalam manuskrip ini. Kumpulan puisi ini memperlihatkan kehadiran makna yang telah diletakkan secara sedar oleh usaha yang dilakukan, bukan sahaja terancang, malah diatur dan disusun dengan penuh teliti dan rinci.
Karya tersebut disifatkan sebagai model terbaik dalam mempertemukan bahasa sebagai sistem makna dan penulis sebagai pelengkap tafsiran dengan menyentuh persoalan besar tentang kejadian manusia serta menyampaikan pengertian baharu melalui pengetahuan yang digarap penyair.
Manuskrip ini merupakan sebuah model yang mungkin sempurna untuk mempertemukan bahasa sebagai sistem makna dan penulis sebagai pengakhir makna. Dalam kata lain, manuskrip ini menggunakan sebuah kod makna dan bahasa yang sistematik.
“Manuskrip ini juga ternyata mempunyai keseimbangan yang tekal dalam meletakkan kedua-dua struktur dalam romantisasi dalam manuskrip yang dilihat sangat kukuh,” ujar laporan tersebut.
Pertandingan Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025 yang memasuki penganjuran kali keempat terus memperlihatkan kematangan serta perkembangan memberangsangkan dalam dunia puisi tanah air apabila empat manuskrip telah dipilih sebagai pemenang, termasuk satu pemenang utama daripada 25 manuskrip yang layak ke peringkat akhir.
Penganjuran Hadiah Puisi T. Alias Taib II kali ini juga memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan apabila penulis muda dan baharu semakin ramai tampil berani mengetengahkan karya yang segar dan istimewa dalam dunia kesusasteraan tanah air.