Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kelantan – Malam Apresiasi Puisi Ramadan (MAPR) 2025 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kelantan pada 22 Februari lalu, berjaya menarik lebih 300 pencinta seni dan sastera daripada pelbagai latar belakang, sekali gus menyemarakkan lagi suasana majlis tersebut.
Penganjuran MAPR berskala besar ini bertindak sebagai medium yang menghubungkan seni, rohani dan keindahan sastera Islamik yang kesemuanya dipersembahkan dalam satu pentas penuh makna.
Selain menjadi wadah deklamasi puisi, MAPR 2025 juga berfungsi sebagai pelantar untuk mengangkat nilai keislaman melalui keindahan bahasa dalam puisi. Program ini secara tidak langsung menonjolkan peranan sastera dalam membentuk rohani, memberikan kesan positif serta mendekatkan masyarakat dengan nilai Islam yang luhur.
Program anjuran oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) melalui kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) ini mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM) dan Kolej Vokasional Pengkalan Chepa.
Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza, dalam ucapan alu-aluannya, melahirkan rasa syukur atas peluang untuk menganjurkan MAPR. Beliau menyatakan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengangkat sastera Islamik kepada khalayak, tetapi juga berperanan sebagai medium pembangunan jiwa sejak tahun 1986.
Dalam ucapan perasmiannya, YBrs. Puan Norma Yacub menekankan betapa pentingnya seni dalam membentuk tamadun dan jati diri masyarakat. Beliau menyatakan,
Saya percaya melalui program ini, kita bukan sahaja dapat menikmati keindahan seni, tetapi lebih daripada itu, kita dapat memperkukuh ikatan ukhuwah sesama kita, merenung kembali makna kehidupan, serta menambah kecintaan kita kepada Allah SWT.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkayakan budaya Islamik, MAPR 2025 terus membuktikan bahawa seni bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai alat yang berkesan untuk membentuk minda serta memperkukuh nilai keislaman dalam masyarakat.
Dengan sokongan yang semakin kukuh, MAPR dilihat berpotensi untuk diperluaskan ke peringkat kebangsaan agar memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Detik bersejarah dalam MAPR 2025 ini antaranya termasuklah, Majlis Pelancaran Antologi Puisi Islamik bertajuk Sekepal Hati Bersujud, terbitan GEMA. Antologi ini menghimpunkan hampir 100 buah puisi Islamik daripada lebih 70 orang penulis dan diselenggarakan oleh Ruzila Man.

Pelbagai persembahan menarik turut dipersembahkan dalam program ini seperti deklamasi puisi yang sarat dengan makna, nyanyian lagu puisi yang merdu serta alunan nasyid yang membangkitkan ketenangan jiwa.
Beberapa tokoh sastera terkemuka turut memeriahkan pentas MAPR 2025, antaranya termasuklah, YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman, Dr. Fahd Razy serta penulis berbakat seperti Nazri Abdullah, Salina Musa, Umi Solehah, Anuar Salleh, Mohd Kumar Abdullah, Awang Abdullah, Norzailani Mohd Nuzi, Siti Nur Fatihah Zainal Abidin, Tuan Haji Ezani Haji Daud, Nik Mohamed Firdaus Putra Nik Aziz, Kumpulan Nasyid Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS), Kumpulan Roudhotul Jannah dari Kok Selehor serta persembahan gurindam oleh Fir Khan.
Hadir sama sebagai tetamu kehormat dalam acara tersebut ialah Ketua 1 GEMA, YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad serta Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, YBrs. Tuan Haji Suhaireesam Sebon. Acara ini turut dihadiri oleh pelajar, mahasiswa dan penggiat seni yang menyumbang kepada kemeriahan majlis.