Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Puisi Islami dan Cerpen Penulis Muda 2024 yang berlangsung di Hotel Vivatel, Kuala Lumpur, pada 24 Januari lalu, telah mencatatkan detik penting dalam usaha menggali dan menghargai bakat besar sastera tanah air.
Majlis anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) ini dilihat semakin rancak dan berkesan dalam memberikan ruang kepada karya-karya segar yang mampu memberikan nafas baharu buat dunia kesusasteraan tempatan.
Tujuan utama majlis ini adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada para pemenang yang telah berusaha keras menyalurkan idea dan kreativiti mereka melalui penghasilan karya yang berani, berinovasi serta berbeza perspektif dalam penyampaiannya, sekali gus menemukan permata baharu yang berpotensi digilap untuk terus mencipta kepengarangan yang lebih gemilang.
Pemilihan karya pemenang melalui sayembara ini adalah hasil daripada proses penilaian yang teliti dan kritikal. Barisan juri yang terlibat antaranya termasuklah, Dr. Shamsudin Othman (Ketua Juri) bersama-sama Dr. Pabiyah Toklubok dan Zaen Kasturi bagi kategori Puisi Islami, serta Dr. Mohd Hanafi Ibrahim (Ketua Juri) bersama-sama Nisah Haji Haron dan Saifulizan Yahaya bagi kategori Cerpen Penulis Muda.
Bagi kategori Sayembara Cerpen Muda, tiga hadiah utama dimenangi oleh Clayton Robert, Muhammad Afif Zulhusni Azhar dan Delaila Delyana Shamsul Anuar. Ketiga-tiga pemenang yang masih muda ini, membawa harapan besar untuk terus mengembangkan bakat mereka dalam dunia penulisan tanah air.
Sementara itu, bagi kategori Sayembara Penulisan Puisi Islami, Siti Sarah Jantan, Suhaimi Mohd Salleh dan Zurhan Bakar berjaya meraih tiga hadiah utama dengan karya yang membawa inovasi dan kekuatan baharu dalam genre puisi Islam.
Menurut panel penilai, karya pemenang kali ini dipilih berdasarkan kekuatan penulis yang tidak sekadar mengikuti konvensi, tetapi berani mengambil sudut pandang yang berbeza, menyuntik elemen baharu dan memanfaatkan alat sastera dengan sebaik-baiknya. Menurut panel penilai lagi,
Karya-karya ini memperlihatkan keberanian dan kematangan dalam penulisan, di samping memberikan perspektif yang segar kepada pembaca.
Kemenangan para penulis muda dalam kedua-dua kategori ini bukan sahaja membanggakan, malah turut menjadi bukti bahawa dunia sastera tanah air masih mampu berdiri tinggi, meskipun dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat.
Sayembara ini jelas memperlihatkan kejayaan besar dalam mencungkil potensi bakat sastera baharu yang perlu terus diberikan ruang dan sokongan untuk berkembang dalam menghasilkan karya yang lebih hebat dan bermakna serta memperkukuhkan lagi kedudukan sastera tanah air di persada dunia.