Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – Sebagai satu daripada inisiatif bagi memupuk minat membaca generasi muda masa kini, Jabatan Pendidikan negeri Perlis melalui kerjasama Perpustakaan Awam Negeri dan Perpustakaan Desa Negeri Perlis telah menganjurkan Program Karung Ilmu (KAIL) khas bagi murid negeri Perlis.
Program ini merupakan satu daripada sistem sokongan bagi murid kumpulan B40 peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah untuk mendapatkan bahan bacaan di rumah tanpa perlu ibu bapa atau waris membeli dan mengeluarkan wang.
Melalui program KAIL ini pegawai dan staf perpustakaan akan hadir ke sekolah dengan membawa bahan bacaan agar murid dapat menukar bahan bacaan mereka setiap dua minggu sekali tanpa perlu mereka ke Perpustakaan Awam Negeri mahupun Perpustakaan Desa.
Bahan bacaan yang diberikan akan dibekalkan melalui beg khas dan setiap pertukaran bahan bacaan juga adalah secara terus tanpa perlu pelajar ke perpustakaan untuk memulangkan semula kerana semua urusan akan diuruskan oleh pegawai dan staf perpustakaan yang terlibat.
Penganjuran program KAIL ini sudah berlangsung selama dua tahun berturut-turut dengan sambutan yang dilihat amat memberangsangkan daripada para pelajar. Hal ini, sekali gus telah membuktikan bahawa generasi hari ini masih memupuk minat membaca dalam diri.
Menurut Pegawai Pengurus KAIL, Encik Zulhimi, beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai langkah untuk membantu generasi hari ini terus meneroka bahan bacaan yang berkualiti tanpa memikirkan soal kewangan.