Diterbitkan pada 20 Ogos 2021, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan Sana Sini: Khazanah Seni Sastera (Teka Peribahasa dan Cerita Hikayat) pada kali ini membicarakan Hikayat Raja Pasai yang menampilkan Mohd Shoffi Sukiman dari Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pembicara yang akan mengupas tentang Bab 1 dalam hikayat tersebut. Rancangan yang diadakan pada pagi tadi dapat ditonton menerusi laman media sosial DBP dan Bernama Radio.

Khazanah Seni Sastera: Hikayat Raja Pasai, Bab 1.

Hikayat tersebut mengisahkan tentang Merah Gajah dan Puteri Buluh Betong yang telah dikahwinkan oleh Raja Ahmad. Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka mempunyai dua orang putera iaitu Merah Silu dan Merah Hasun. Walau bagaimanapun, Merah Gajah telah membunuh Puteri Buluh Betong dengan mencabut sehelai rambut emas dari kepala isterinya itu.

Kejadian tersebut telah diketahui oleh Raja Muhammad, iaitu bapa kepada Puteri Buluh Betong lalu Raja Muhammad marah dan membunuh menantunya itu, Merah Gajah. Persengketaan tersebut tidak berakhir di situ apabila Raja Ahmad marah kerana telah membunuh puteranya, maka berlakulah peperangan dan mereka saling berbunuhan.

Kesan daripada peperangan tersebut, maka kedua-dua putera Merah Gajah dan Puteri Buluh Betong, iaitu Merah Silu dan Merah Hasun telah keluar dari negeri bapa mereka dan menetap di Biruan. Maka dari situ, bermulalah penghijrahan Merah Silu ke Hulu Kalang dan Sungai Pasangan, lalu bertemu dengan Megat Iskandar sebelum dirajakan di Rimba Jelana. Di Rimba Jelana, Merah Silu telah memeluk agama Islam dan dikenali sebagai Sultan Malikul Saleh.

Hikayat Raja Pasai.

Menurut Shoffi, hikayat tersebut dikategorikan sebagai hikayat sastera sejarah dan merupakan antara hikayat terawal yang didapati dan ditulis di Tanah Melayu, iaitu ditulis pada tahun 1389. Hikayat tersebut telah disunting dan dilengkapkan oleh para sarjana sejak dari tahun 1800 lagi. “Yang menariknya, aspek penggunaan bahasa yang digunakan dalam hikayat tersebut jauh lebih baik dan mudah difahami sekiranya dibandingkan dengan hikayat lain,” jelas Shoffi.

Antara pengajaran yang dapat diperoleh oleh pembaca dalam hikayat tersebut ialah apabila membuat sesuatu keputusan seharusnya berfikir secara wajar, terutamanya bagi mereka yang mempunyai kuasa. Hikayat Raja Pasai yang menghimpunkan tiga bab ini dapat dibeli melalui portal DBPNiaga atau JendelaDBP.

 

Penceritaan Bab 1 Hikayat Raja Pasai oleh Raifa Zulkifli.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi