Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan, Bernama Radio telah mengadakan segmen Khazanah Seni Sastera: Hikayat Bayan Budiman yang menampilkan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Saifullizan Yahaya yang membicarakan berkaitan kisah Raja Mansur Syah dengan Tuan Puteri Ratna Gemala. Segmen yang diadakan pada pagi tadi dapat didengar dan ditonton melalui siaran langsung Radio DBP dan Bernama Radio yang dikendalikan oleh Raifa Zulkifli.

Menurut Saifullizan, hikayat tersebut merupakan hikayat berbingkai yang wujud dalam tradisi persuratan Melayu sejak dahulu lagi. Hikayat tersebut mempunyai 70 buah cerita nasihat yang disampaikan oleh seekor burung, iaitu Bayan kepada tuannya yang bernama Bibi Zainab. Yang menariknya, penceritaan yang dilakukan pada setiap malam tersebut mempunyai makna yang tersirat, terutamanya kepada kaum wanita yang bergelar isteri supaya taat dan sentiasa memberikan layanan yang baik kepada suami.

“Walau bagaimanapun, hikayat tersebut tidak hanya memfokuskan kepada wanita sahaja, namun terdapat pengajaran yang turut diberikan kepada suami menerusi penyampaian yang tersirat,” tambah Saifullizan ketika memberitahu pendengar tentang pengajaran hikayat tersebut.
Pada akhir siaran tersebut, pendengar diberikan soalan teka peribahasa iaitu “kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah” dan pemenang akan menerima hadiah daripada DBP. Pendengar juga boleh membeli buku Hikayat Bayan Budiman melalui portal DBPNiaga.