Diterbitkan pada 13 November 2024, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Program Wacana Watak Guru dalam Filem anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) membincangkan visibiliti seorang guru dalam lakonan di layar perak.

Selaku moderator, Dr. Mohd Zahuri Khairani menekankan visibiliti seorang guru melalui lakonan mahupun kehidupan realiti sangat penting kerana figura seorang guru itu perlulah dirasai kehadirannya.

Wacana yang bermula dengan tayangan perdana filem Gemencheh Boys itu berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.

Mohd Iznan Ibrahim atau lebih mesra dikenali sebagai Pekin Ibrahim yang memegang watak sebagai Cikgu Azman dalam filem Gemencheh Boys turut berkongsi pandangan peribadinya apabila menerima watak sebagai seorang guru. Kongsinya,

Saya tertarik dengan isu utamanya dan filem tersebut merupakan satu kelainan kerana sukan yang dipilih merupakan sukan kriket dan pemilihan latar felda sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Saya baca skripnya seminggu sahaja dan saya terus menerima tawaran berlakon tersebut.

Beliau menambah, skrip yang mengetengahkan isu pelajar nakal dan didikan guru merupakan esen utama yang menjadikan skrip itu menarik dan beliau hanya mengambil masa selama empat bulan untuk mendalami perwatakan Cikgu Azman.

Manakala, Cikgu Azman Abd. Aziz (watak sebenar) turut berkongsi cabarannya sebagai seorang guru yang mahu melihat pelajarnya berjaya walaupun menghadapi kekangan peralatan tidak mencukupi. Kongsinya,

Cabaran menjadi guru adalah apabila pelajar yang memperoleh  kecemerlangan, ibu bapa akan kata anak mereka itu memang pandai, tetapi apabila pelajar gagal, gurulah yang dipersalahkan.

Melalui wacana ini, Cikgu Azman Abd. Aziz turut berkongsi petua sebagai seorang guru yang melihat betapa pentingnya para pendidik untuk mengenali pelajar dan memantau pencapaian mereka.

Filem Gemencheh Boys memaparkan enam orang pelajar yang tidak mempunyai cita-cita yang mereka impikan demi masa hadapan sehinggalah mereka bertemu dengan Cikgu Azman, seorang guru disiplin yang mengubah haluan hidup mereka.

PTB UPSI melalui wacana ini membawakan barisan panel yang hebat iaitu Pekin Ibrahim dan Cikgu Azman Abd. Aziz bagi membicarakan topik berkenaan visibiliti seorang guru bersempena dengan Pesta Buku UPSI ke-19.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi